Ketua Pegawai Eksekutif Inter Milan, Giuseppe Marotta, mendedahkan pasukan Serie A itu masih belum menerima sebarang tawaran untuk mendapatkan Ivan Perisic.

Perisic sebelum ini meluahkan kemahuannya untuk meninggalkan Inter selepas dikaitkan dengan pasukan Liga Perdana Inggeris, Arsenal.

Bagaimanapun, Marotta berkata Inter masih belum menerima sebarang tawaran daripada pasukan yang berminat untuk mendapatkan pemain sayap berusia 29 tahun itu.

"Amat sukar untuk mengekalkan pemain yang mahu berpindah," katanya kepada Sky Sports.

"Buat masa ini, tiada sebarang tawaran ke atas Perisic."

Perisic sudah bersama Inter sejak 2015 dan pernah dikaitkan untuk menyertai Manchester United.

Walaupun enggan mendedahkan Arsenal sedang memburu khidmat Perisic, pengurus pasukan, Unai Emery, menjelaskan mereka kini sedang menantikan pemain di posisi sayap.

Arsenal kini di tangga kelima Liga Perdana Inggeris dan akan melayan kunjungan Cardiff City, awal pagi nanti.