Milan Skriniar memahami tindakan Inter Milan melepaskan Luciano Spalletti dan percaya pasukannya akan mencabar kejuaraan Serie A di bawah bimbingan Antonio Conte musim depan.

Menamatkan musim 201-19 di tangga keempat liga tidak cukup untuk Spalletti mengekalkan jawatannya tatkala Inter melantik bekas pengendali Juventus, Conte, sebagai pengganti.

Pengurus berusia 49 tahun itu memenangi tiga kejuaraan liga bersama Juve sambil menikmati kejayaan sewaktu mengendalikan skuad kebangsaan Itali dan Chelsea.

Skriniar mengakui Inter perlu meningkat berbanding musim lalu, di mana mereka mengatasi AS Roma dan AC Milan pada hari terakhir untuk mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara Eropah dan dia berharap kehadiran pengendali baru dapat mengubah mentaliti pasukan.

"Spalletti merupakan individu dan pengurus yang bagus tetapi kelab telah membuat keputusan," katanya.

"Kini, ada Conte dan terdapat harapan baru. Kami mahu mencabar Scudetto.

"Musim lalu memuaskan kerana kami mara ke Liga Juara-Juara tetapi kami mampu tampil lebih bagus.

"Keputusan dalam minggu terakhir bukan sesuatu yang kami mahu tetapi objektif kami menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas dan ia tercapai."

Inter dijangka membawa masuk pemain baru menjelang musim pertama Conte di San Siro tatkala bek berpengalaman, Diego Godin, dijangka tiba daripada Atletico Madrid secara percuma tetapi masa depan penggempur, Mauro Icardi, masih belum pasti.

"Icardi adalah pemain dan rakan yang hebat, jadi lihat nanti apa yang berlaku. Jika dia kekal, kami pasti gembira," tambahnya.

"Godin akan menjadikan pasukan lebih bersaing dan itu perkara utama," ujarnya.