NAPOLI 4 SALERNITANA 1

Lorenzo Insigne menyamai rekod Diego Maradona dalam senarai penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Napoli sebaik meledakkan golnya yang ke-115 bersama pasukan Serie A itu.

Pemain kebangsaan Itali itu menyempurnakan sepakan penalti pada awal babak kedua sewaktu pasukannya menewaskan Salernitana 4-1 dalam aksi 'derby' malam tadi.

Ia bermakna, dia kini menyamai rekod Maradona untuk menduduki tangga ketiga dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang sejarah Napoli.

Dries Mertens mengetuai senarai itu dan turut menjaringkan gol sepakan penalti sebelum waktu rehat untuk Napoli berkelebihan 2-1 -- golnya yang ke-144 buat kelab itu.

Pemain kebangsaan Belgium itu kemudian beralah untuk memberikan peluang buat Insigne mengambil sepakan penalti kedua pasukannya pada minit-53.

Insigne sebelum itu hanya dimasukkan sebagai pemain gantian pada awal babak kedua dan Mertens berkata: "Saya memberikan sepakan penalti kedua itu kepada Lorenzo kerana ia sesuatu yang penting buatnya."

Insigne turut meluahkan kegembiraannya terhadap kemenangan itu dalam Instagram.

Dia akan meninggalkan kelab itu pada penghujung musim ini untuk menyertai Toronto FC tetapi pemain berusia 30 tahun itu mengakui akan sentiasa mengenang Napoli dalam hidupnya.

"Aksi 'derby' bukan sekadar dimainkan, ia untuk dimenangi. Kami akan meneruskannya sehingga ke penghujung.

"Sentiasa dan selamanya FORZA NAPOLI," tulisnya.

Insigne kini hanya ketinggalan enam gol di belakang pemegang rekod kedua terbanyak, Marek Hamsik, dalam senarai penjaring gol Napoli.