ENGLAND 1 ITALI 1

Gagal melayakkan diri ke pentas Piala Dunia 2018 tidak bermaksud Itali akan mengambil ringan aksi persahabatan apabila mereka mengikat England 1-1 di tempat lawan, awal pagi tadi.


Bermain di depan hampir 80,000 penyokong di Wembley, Itali mempertaruhkan Ciro Immobile, Lorenzo Insigne dan Antonio Candreva di jentera serangan untuk merobek gawang tuan rumah.

Sebaliknya, England yang dibimbing Gareth Southgate terlebih dahulu meraih pendahuluan pada minit ke-26 selepas Jesse Lingard menyempurnakan sepakan percuma dengan pantas untuk membolehkan penyerang Leicester City, Jamie Vardy, mencatat gol pertama buat pasukan The Three Lions.

Dikejutkan dengan gol pembukaan tuan rumah, Itali mula mengatur gerakan untuk memburu jaringan penyamaan dan usaha itu hampir membuahkan hasil pada minit ke-31 apabila Immobile bijak mencari ruang untuk melepaskan rembatan tetapi Kyle Walker terlebih dahulu bersedia untuk membuang bola keluar.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama dan sebaik sahaja babak kedua dimulakan, England terus mencorakkan serangan untuk menambah gol kedua.

Alex Oxlade-Chamberlain hampir melebarkan kedudukan buat The Three Lions pada minit ke-57, bermula daripada gerakan yang dijana oleh Eric Dier dan Raheem Sterling, namun percubaan bintang Liverpool itu sekadar tepat ke penjaga gol, Gianluigi Donnarumma.

Ketika kemenangan seakan-akan memihak England, kelincahan Federico Chiesa telah memaksa pemain yang melakukan penampilan pertama buat The Three Lions, James Tarkowski, menjatuhkannya dan membuatkan pengadil perlawanan, Deniz Aytekin, tidak teragak-agak untuk menuding jari ke arah titik penalti.

Insigne yang mengambil sepakan itu tenang memperdayakan Jack Butland untuk memastikan perlawanan tamat dengan keputusan seri 1-1, sekali gus meranapkan impian England untuk meraih kemenangan kedua selepas menewaskan Belanda, Sabtu lalu.