CELTA VIGO 1 ATLETICO 2

Diego Simeone bingung dengan peraturan bola terkena tangan selepas Atletico Madrid tersepit dengan keputusan sepakan penalti yang boleh didebatkan ketika berdepan Celta Vigo.


Juara LaLiga itu memulakan misi mempertahankan gelaran mereka dengan kemenangan tipis 2-1 di tempat lawan, awal pagi tadi, menerusi dua sentuhan berbisa Angel Correa.

Correa membuka tirai gol dengan jaringan memukau dalam separuh masa pertama tetapi Celta menyamakan kedudukan sebelum sejam usia permainan selepas tangan Marcos Llorente dikesan menepis hantaran Iago Aspas.

Ketika itu Jan Oblak cuba mematahkan hantaran silang Aspas, tindakan penjaga gol tersebut sebaliknya menyebabkan bola terkena dada Llorente dan bergolek pula ke lutut rakannya itu sebelum melantun ke lengan pemain tengah berkenaan.

Atleti ternyata masih tidak berpuas hati meskipun pengadil sudah merujuk kepada video bantuan pengadil (VAR).

Bagaimanapun, Correa dengan segera mengembalikan pendahuluan sebelum Atletico dipaksa mengerah keringat untuk mengekang asakan lawan yang menyaksikan Aspas terlepas satu peluang keemasan, manakala kedua-dua pasukan mengakhiri permainan dengan 10 orang selepas Mario Hermoso dan Hugo Mallo dilayangkan kad merah atas kekerasan pada masa kecederaan.



Dalam sidang media selepas perlawanan, Simeone mendedahkan dia sedang bergelut untuk memahami peraturan bola terkena tangan.

"Sangat sukar untuk memahami apa itu bola terkena tangan dan apa yang tidak," katanya.

"Saya masih percaya bahawa pendekatan VAR sangat bagus dan pengadil berusaha untuk memutuskan apa yang dilihatnya sebagai yang terbaik."

Penyerang Celta, Aspas -- yang menyempurnakan sepakan penalti itu -- mengakui dia pada awalnya tidak percaya sepakan penalti akan diberikan.

"Tidak jelas bagi saya sama ada bola terkena atau tidak. Sejujurnya, pada masa itu saya fikir ia satu penalti," kata penyerang tersebut kepada Movistar +.

"Saya tidak dapat melihatnya dengan tepat. Marcos Llorente memberitahu saya bahawa ia satu keputusan yang silap dan saya mempercayainya sehinggalah detik pengadil memutuskan bahawa ia adalah sepakan penalti."