Chelsea dan Leicester City berdepan dakwaan oleh Persatuan Bolasepak (FA) berikutan pergaduhan di antara kedua-dua pemain pasukan itu ketika menuju wisel penamat dalam pertembungan Liga Perdana Inggeris semalam.

Situasi tegang tercetus di Stamford Bridge selepas Ricardo Pereira mengasari bekas rakan sepasukannya, Ben Chilwell, di tepi bangku simpanan lalu mencetuskan kekecohan yang turut melibatkan beberapa anggota kakitangan pelatih.

Tiga pemain Leicester -- Ricardo, Nampalys Mendy dan pemain gantian, Daniel Amartey -- masing-masing menerima layangan kad kuning oleh pengadil, Mike Dean, atas peranan mereka dalam insiden itu -- tiga hari selepas kemenangan Leicester 1-0 ke atas Chelsea dalam final Piala FA.

Amartey dipalit kontroversi dalam kemenangan di Wembley hujung minggu lalu selepas pemain tengah itu -- yang sekali lagi sekadar memanaskan bangku simpanan -- merakamkan tindakannya mencampakkan panji Chelsea.

Pertahanan The Blues, Antonio Rudiger, mengakui pasukannya menggunakan tindakan itu sebagai motivasi dalam pertemuan liga pertengahan minggu ini untuk menang 2-1 bagi menyalakan harapan mereka mengakhiri saingan di kelompok empat teratas.






Insiden terbaru itu mengundang perhatian FA yang mengesahkan kedua-dua kelab berkenaan berdepan tindakan berhubung kegagalan mengawal pemain masing-masing.

"Chelsea FC dan Leicester City FC masing-masing dituduh melanggar Peraturan E20.1 FA berikutan perlawanan EPL di antara mereka pada Selasa (waktu tempatan), 18 Mei 2021," demikian satu kenyataan daripada FA malam tadi.

"Kedua-dua kelab gagal memastikan pemain dan pegawai kelab mereka berkelakuan baik atau menahan diri daripada melakukan tingkah laku provokatif pada minit ke-93.

"Chelsea FC dan Leicester City FC kedua-duanya diberi tempoh hingga Selasa, 25 Mei 2021, untuk mengemukakan penjelasan masing-masing."

Chelsea menguasai tangga ketiga EPL menuju perlawanan terakhir musim ini di Aston Villa, Sabtu ini -- satu mata mengatasi Liverpool di tempat terakhir kelayakan Liga Juara-Juara (UCL).

Leicester memerlukan lima gol pada hari terakhir musim ini sekiranya berhasrat memintas The Reds.