Juara Piala Malaysia 2016, Kedah, mengakhiri kempen pra-musim 2017 dengan kemenangan 2-0 ke atas Felcra FC semalam, namun pertemuan itu dicemari insiden kad merah susulan tercetus pergaduhan.

Ia membabitkan pemain muda Kedah, Farhan Roslan, dan pemain berpengalaman, Azi Shahril Azmi.

Azi Shahril yang juga bekas pemain negara melepaskan tumbukan terhadap Farhan yang dikatakan terlebih dahulu mencetuskan provokasi.

Kedua-dua pemain terbabit kemudian dilayangkan kad merah oleh pengadil.

Pengendali Felcra FC, Yusri Che Lah, ketika ditemui selepas perlawanan, mengakui kecewa dengan insiden itu.

"Kepada penyokong Kedah, saya memohon maaf di atas sikap pemain saya yang pada saya tidak harus berlaku.

"Perkara sudah pun berlalu, saya memohon maaf bagi pihak Felcra kepada semua penyokong, pemain dan pasukan Kedah.

"Mudah-mudahan ia menjadi pengalaman berguna untuk pemain saya walaupun yang melakukannya adalah pemain senior," kata Yusri.

Difahamkan, Farhan mengalami kecederaan di bahagian muka.

Dalam pertemuan yang berlangsung di Stadium UM itu, gol kemenangan Kedah dihasilkan Syafiq Ahmad pada minit ke-29 dan Ken Ilson pada minit akhir perlawanan.

"Dalam tiga perlawanan pra-musim, saya lihat ada peningkatan terbaik dari segi permainan anak buahnya saya.

"Menjelang aksi 20 haribulan nanti, pemain sudah pun bersedia," ujar jurulatih Helang Merah, Tan Cheng Hoe.