Andres Iniesta menyifatkan dirinya meninggalkan pentas El Clasico dengan senang hati selepas Barcelona mengelakkan kekalahan walaupun beraksi kekurangan seorang pemain setelah Sergi Roberto dibuang padang.

Pemain berusia 33 tahun itu bakal meninggalkan Barca pada hujung musim ini dan dalam aksi awal pagi tadi, dia beraksi selama 58 minit sebelum digantikan oleh Paulinho, diiringi dengan sorakan penyokong di seluruh stadium yang berdiri bagi menghormati sumbangan yang telah diberikan oleh Iniesta.

Pemenang sembilan kali LaLiga itu dijangka melengkapkan perpindahannya ke Liga Super China dan mendedahkan bahawa dia sukar untuk bersaing secara fizikal dalam perlawanan yang besar.

Bagaimanapun, melihat kepada laluan Barca yang masih belum tewas pada musim ini dalam saingan liga, Iniesta gembira untuk meninggalkan pasukan.

"Clasicos seharusnya begitu, ia adalah aksi yang sengit. Ia sangat istimewa dan berbeza," kata Iniesta.

"Tentunya bagus, kami (kedua-dua pasukan) berusaha untuk mendapatkan kemenangan. Keputusan seri membuatkan kami senang hati.

"Barca menamatkan aksi tanpa seorang pemain dan ia memberikan nota positif atas keputusan yang diraih. Kami berpuas hati dan akan terus cuba untuk menamatkan liga tanpa kalah," tambahnya.

"Saya berdepan masalah kecergasan sejak aksi final Piala Raja Sepanyol dan cuba yang terbaik untuk beraksi dalam perlawanan sebegini, seberapa lama yang boleh."