Kapten Barcelona, Andres Iniesta, enggan menyalahkan Arda Turan susulan kekasarannya di hujung perlawanan menjadi punca Real Madrid meledak gol penyamaan dalam pertembungan El Clasico pada Sabtu.

Kesungguhan Arda untuk kembali merampas penguasaan bola daripada Marcelo menyebabkan kekasaran berlaku sehingga pengadil memberikan sepakan percuma.

Luka Modric yang dipertanggungjawabkan untuk mengambil sepakan tersebut berjaya menemui Sergio Ramos yang menanduk masuk ke gawang Marc-Andre Ter Stegen di hujung perlawanan.

Barca mendahului perlawanan, bermula pada minit ke-53 hasil jaringan Luis Suarez tetapi gagal menggandakan jaringan menerusi Lionel Messi dan Neymar.

Namun, Iniesta, yang masuk pada babak kedua selepas pulih daripada kecederaan ligamen Oktober lalu, berasa tidak adil untuk meletakkan kesalahan tersebut ke atas seorang individu.

"Jika bukan kerana gol itu, kami akan beranggapan bahawa kesilapan itu menyebabkan Real kehilangan masa berharga," dia memberithau BeIN Sports. "Mereka sangat berbahaya dalam situasi 'set-piece' dan malam ini mereka membuktikannya sekali lagi.

"Sayang sekali kerana kami berpeluang berada di depan 2-0. Pemain telah melakukan tugas dengan baik selepas bergelut sebelum ini.

"Pada saya, kami layak menang."