Kapten Barcelona, Andres Iniesta, menegaskan rakan sepasukannya tidak hilang keyakinan terhadap ketua jurulatih, Luis Enrique.

Tumpuan kini terarah kepada Enrique apabila Barca bergelut dalam kemenangan tidak meyakinkan, 2-1, ke atas Leganes dalam aksi LaLiga di Nou Camp, awal pagi tadi.

Ketika perlawanan itu, Enrique diejek penyokong Barca berikutan kekalahan memalukan, 4-0, kepada Paris Saint-Germain dalam aksi pertama pusingan16 Liga Juara-Juara Eropah, Selasa lalu.

Tetapi Iniesta menafikan Enrique mempunyai masalah dan yakin juara Sepanyol itu akan bangkit.

"Kami tidak hilang keyakinan dalam diri sendiri atau terhadap pengurus," kata Iniesta, yang masuk sebagai pemain gantian pada 10 minit terakhir.

"Saya rasa ia adalah hanya satu keadaan yang kami lalui. Saya yakin kami akan pulih daripada situasi sensasi itu yang seperti tewas. Kami akan tampil dengan mentaliti kemenangan untuk menghadapi cabaran akan datang.

"Tiada yang tewas dan kami perlu yakin bahawa kami akan bangkit melakukan sesuatu dengan cara yang betul.

"Kami tidak boleh terus melihat ke belakang. Kami perlu melihat ke hadapan dan berjuang untuk semua. Saya tidak menaruh apa-apa keraguan dalam pasukan ini."

Lionel Messi menjaringkan dua gol di Nou Camp selepas menyempurnakan penalti pada minit ke-90 ketika Barca ketinggalan satu mata kepada musuh ketat dan pendahulu liga, Real Madrid, yang mempunyai dua perlawanan dalam tangan.

Iniesta menambah: "Ramai sedar bahawa ini akan menjadi perlawanan sukar selepas aksi Liga Juara-Juara.

"Sekarang kami mempunyai tempoh yang panjang untuk 'mengecaj bateri' kami dan memutuskan sambungan sedikit dari Paris.

"Kami mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan tetapi kami perlu terus percaya dan mempercayai apa yang kami lakukan."