Andres Iniesta berharap 2019 bakal menyaksikan Barcelona menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah yang keenam tetapi bekas tonggak Blaugrana itu sedar saingan sengit yang dihadapi.

Barca mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara selepas mengutip 14 mata di peringkat kumpulan, menang empat perlawanan dan seri dalam dua baki aksi untuk menduduki tangga teratas mengatasi Tottenham Hotspur.

Mereka bakal berdepan Olympique Lyon tatkala skuad kendalian Ernesto Valverde itu mahu menambah lima trofi Liga Juara-Juara yang dimenangi sebelum ini setelah kali terakhir melakukannya pada 2015.

Iniesta membarisi empat skuad Barcelona yang menguasai Eropah dan dia melihat anak-anak buah Valverde mempunyai kemampuan untuk melakukannya.

"Saya sentiasa melihat mereka mampu menjuarai Liga Juara-Juara," kata Iniesta.

"Mereka bercita-cita besar dan memiliki aspirasi untuk memenangi segalanya.

"Selepas itu, akan ada detik sama ada ia menjadi lebih baik atau buruk.

"Pasukan ini layak menjulang trofi Liga Juara-Juara lebih daripada apa yang kami raih. Saya harap musim ini mereka akan melangkah jauh mengatasi pencapaian dalam beberapa tahun terakhir."

Bagaimanapun, dalam usaha untuk beraksi di pentas final di Madrid, 1 Jun depan, Iniesta melihat ia bukan cabaran mudah sambil berpendapat Manchester City dan Paris Saint-Germain (PSG) akan cuba menyekat Barca.

"Sukar untuk memikirkan PSG dan City tidak mampu melangkah jauh," tambah Iniesta.

"Berbekalkan pasukan, skuad, pelaburan serta jurulatih yang dimiliki, mereka harus mencabar trofi.

"Saya juga menambah Liverpool yang tampak bagus musim ini.

"Apa yang menjadi masalah adalah Liga Juara-Juara merupakan satu kejohanan yang getir. Satu hari yang buruk akan menyingkirkan anda."

Iniesta meninggalkan Barca di penghujung musim lalu untuk menyertai kelab Jepun, Vissel Kobe, dan walaupun menikmati tempoh di Negara Matahari Terbit itu, dia mengakui rindukan Camp Nou.

"Saya mahu berada di Barca jika tubuh dan kepala saya membenarkannya," ujar Iniesta.

"Saya tidak dapat menemui kelab yang mampu menyamai Barca, stadium serta rakan sepasukan di sana.

"Namun, saya mengambil laluan berbeza dan menikmatinya. Saya gembira dengan apa yang hadir dan berharap karier di peringkat ini akan menjadi sangat penting dan istimewa."