BARCELONA 5 VILLAREAL

Ernesto Valverde berkata Andres Iniesta masih lagi mengajar beliau sesuatu dalam setiap perlawanan selepas terus mempamerkan aksi cemerlang ketika menewaskan Villareal.


Barca membenam Villarreal 5-1 di Camp Nou awal pagi tadi, sekali gus semakin hampir untuk menyempurnakan musim LaLiga tanpa sebarang kekalahan.

Iniesta, yang bakal meninggalkan kelab itu pada penghujung musim ini, sekali lagi mempamerkan magis dengan mengumpan jaringan buat Lionel Messi sementara melakukan persembahan lima bintang sepanjang perlawanan.

"Iniesta mengajar anda sesuatu dalam setiap perlawanan," kata Valverde.

"Saya sangat seronok menyaksikan Iniesta beraksi setiap kali di atas padang."

Valverde turut menjelaskan keputusannya untuk memilih Jasper Cillessen beraksi buat kali pertama dalam LaLiga menggantikan Marc-Andre ter Stegen.

"Kami mahu mengakhiri musim dengan Ter Stegen.

"Saya mahu Cillessen bermain dalam saingan liga kerana dia banyak membantu pasukan. Kami tahu dia penjaga gol yang berkualiti," ujarnya.

Phillippe Coutinho dan Paulinho menjaringkan dua gol buat Barca selepas perlawanan melewati minit ke-16 sebelum Messi meletakkan Barcelona mendahului perlawanan dengan tiga jaringan tanpa balas sebelum tamat separuh masa pertama.

Nicola Sansone mencetus harapan buat pelawat tetapi dua gol daripada Ousmane Dembele pada penghujung permainan memastikan Barcelona meraih tiga mata.