Kepuasan jelas terpancar di wajah pemangku jurulatih Selangor, Nazliami Nasir, sebaik menyaksikan skuad kendaliannya menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 dalam aksi Piala FA, malam tadi.

Dipalit kontroversi menimpa P. Maniam yang "direhatkan", Nazliami hadir membawa pasukan yang bukan dalam prestasi terbaik, malah tewas tiga kali berturut-turut sebelum ke Kuala Terengganu.

Namun, dia menghamburkan pujian buat anak-anak buahnya sambil mengakui menjangkakan tentangan lebih sengit diberikan TFC.

“Pemain-pemain memberi persembahan yang membuatkan saya teruja kerana sudah lama kami tidak bermain seperti ini.

“Ini adalah Selangor yang sebenarnya,” kata Nazliami.

Ketinggalan 0-1 hasil jaringan Mohd Shahrul Aizad pada minit ke-23, The Red Giants bangkit untuk mengecewakan TFC menerusi dua jaringan Rufino Segovia (m-27, m-69) serta Evan Dimas Darmono (m-60).

Kemenangan itu disifatkan sebagai tanda kerjasama erat mereka secara berpasukan yang berjaya melenyapkan skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim yang dilihat serba tidak menjadi.

“TFC pasukan yang hebat di semua posisi, namun kami tidak membenarkan mereka bermain dengan keinginan mereka.

“Kredit juga diberikan kepada pemain-pemain yang menunjukkan semangat juang tinggi," tambahnya.

Sementara itu, Segovia menjelaskan kemenangan itu cukup bermakna buat Selangor yang berjuang habis-habisan selama 90 minit.

Gembira dengan kejayaan ke suku akhir, penyerang kelahiran Sepanyol itu turut menyifatkan bahawa penting buat pasukannya mengambil keyakinan daripada keputusan itu untuk aksi seterusnya.

“Kami menganggap perlawanan ini sebagai final dan kesemua pemain menunjukkan Selangor pasukan lebih baik untuk mara,” kata Segovia.