Pep Guardiola sekali lagi membandingkan Manchester City dengan bekas pasukan kendaliannya, Barcelona, selepas membelasah Watford 6-0, malam tadi.

Kemenangan 5-0 ke atas Liverpool minggu lalu, diikuti dengan membelasah Feyenoord 4-0 dalam Liga Juara-Juara, membuatkan Guardiola teringat kembali saat dia mengendalikan Barcelona, ketika dalam perjalanan ke Vicarage Road.

Hatrik daripada Sergio Aguero, diikuti gol oleh Gabriel Jesus, Nicolas Otamendi dan Raheenm Sterling bermakna City telah menang tiga perlawanan dan menyumbat 15 gol.

"Sangat mantap," dia memberitahu BBC Sport.

"Terutama selepas aksi di laman lawan dalam Liga Juara-Juara. Kami bermain sebagai satu unit, kami sangat gembira.

"Saya bertuah dapat mengendalikan Barcelona tetapi minggu ini kami menyumbat banyak gol. Kami telah menemui permainan sebenar, kami mampu membuat hantaran pendek di samping pemain bek kiri dan kanan mampu membuat larian.

"Pemain gantian turut membuat sumbangan. Kami tidak dibolosi ekoran berjaya menguasai permainan."

Guardiola turut mendedahkan keputusan untuk Sterling mengambil sepakan penalti pada minit ke-89 datangnya daripada Aguero.

"Kamu perlu serius sehingga tamat perlawanan," kata Guardiola.

"Perbezaan gol mampu menjadi penentu di hujung musim tetapi ini adalah keputusan Aguero."

Sementara itu, pengendali Watford, Marco Silva, mempersoalkan tindakan pengadil, Anthony Taylor, yang membenarkan gol pertama Aguero dan Jesus dikira.

"Kami tahu perlawanan ini amat sukar dan City sentiasa menghadirkan masalah.

"Gol pertama dan ketiga, mereka berada dalam kedudukan ofsaid. Kami sepatutnya dianugerahkan sepakan penalti.

"City layak mendapat tiga mata ini. Pemain perlu belajar daripada kekalahan ini. Kami tidak seharusnya melakukan kesilapan."