BARCELONA 1 GRANADA 1

Ronald Koeman menjelaskan bahawa gol awal Granada dan keterbatasan sumber yang dimilikinya menjadikan Barcelona tidak dapat bermain 'tiki-taka' sehingga terpaksa berpuas hati dengan keputusan 1-1 awal pagi tadi.

Dalam aksi pertama mereka sejak tewas 0-3 kepada Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Barca sekali lagi hampir menelan kekalahan di laman sendiri dalam perlawanan LaLiga itu.

Domingos Duarte menanduk masuk gol pembukaan Granada seawal minit kedua -- demi memburu kemenangan kedua berturut-turut pasukannya di Camp Nou selepas 24 kekalahan -- dan Blaugrana terpaksa menunggu sehingga saat-saat terakhir permainan untuk menyamakan kedudukan.

Ronald Araujo muncul penyelamat Barca dengan gol tandukan yang akhirnya berhasil selepas pasukan Catalan itu merekodkan 54 hantaran lintang.

Barca hanya pernah sekali merekodkan hantaran lintang lebih banyak sejak musim 2005-06, iaitu sewaktu melakukan 55 hantaran lintang ketika terikat tanpa jaringan dengan Malaga pada November 2016.

Sergino Dest dan Memphis Depay, masing-masing melakukan 16 hantaran lintang dan rekod itu hanya pernah dilakukan lebih baik oleh Dani Alves (dalam lima perlawanan berbeza) dan Neymar (juga ketika menentang Malaga) sejak musim yang diperkatakan itu.

Sepanjang tempoh itu juga, tiada pemain Barca lain dapat menandingi rekod lima percubaan melalui tandukan dalam satu perlawnan liga yang dilakukan Araujo.

Bagaimanapun, persembahan itu jauh lebih buruk jika dibandingkan dengan gaya hantaran yang pernah diterapkan Pep Guardiola ketika mengemudi pasukan itu tetapi ketua jurulatih terkini, Koeman, yang enggan membincangkan mengenai masa depannya selepas perlawanan itu, berasakan Barca tiada pilihan lain dalam memburu gol penyamaan.

"Permulaan buruk telah memberikan kesukaran besar buat kami," kata Koeman.

"Ia cara permainan sama seperti dua atau tiga perlawanan lalu yang kami tidak bermain dengan baik, kemudian barulah hantaran lintang dan gol itu tiba.

"Anda berdepan pasukan yang akan melengahkan masa sejak minit pertama, yang akan lebih banyak bertahan tanpa memberikan sebarang ruang. Ia menjadikan semuanya lebih sukar.



"Ruang yang ada hanya di bahagian sayap, bukan di bahagian dalam. Sistem asas kami adalah 4-3-3 dan begitulah yang kami mainkan dalam babak pertama, kemudian dengan (Philippe) Coutinho di belakang dan Memphis di bahagian kiri.

"Tetapi Barca pada hari ini bukanlah Barca pada lapan tahun lalu. Ia bukanlah perlawanan yang kami mahukan tetapi kami kekurangan pemain untuk situasi satu lawan satu. Coutinho dan (Yusuf) Demir bermain lebih ke dalam.

"Ansu (Fati) dan (Ousmane) Dembele sepatutnya bersama kami tetapi mereka tiada di sini dan kami perlu mencari cara lain untuk menyerang seperti bermain lebih banyak di bahagian luar dan melakukan hantaran lintang.

"Jika anda melihat kepada senarai pemain kami, apakah yang akan anda lakukan? bermain 'tiki-taka' tanpa ada ruang?

"Kami tidak mahu bermain seperti ini sejak awal permainan tetapi bukan mudah untuk bermain hantaran pendek dan kami tidak mempunyai pemain dengan kepantasan di bahagian sayap.

"Pada akhirnya, kami dapat menyamakan kedudukan pada saat akhir apabila kami kelihatan baik dalam menghimpit pasukan lawan tetapi kami kehilangan dua mata," katanya.