BOCHUM 4 BAYERN MUNICH 2

Joshua Kimmich membidas prestasi Bayern Munich sewaktu tewas 2-4 kepada Bochum dalam perlawanan Bundesliga awal pagi tadi dengan menyifatkannya sebagai "aksi terburuk musim ini".

Pendahulu Bundesliga itu dikejutkan di Vonovia Ruhrstadio untuk akur tewas buat kali kedua daripada 32 pertemuan kedua-dua passukan itu.

Ia juga merupakan kali kedua Bayern dibolosi empat gol musim ini, di mana Christopher Antwi-Adjei, Jurgen Locadia, Cristian Gamboa dan Gerrit Holtmann berhasil menemui jaringan buat tuan rumah sepanjang babak pertama.

Sebelum ini, pasukan bimbingan Julian Nagelsmann itu turut pernah dibelasah Borussia Monchengladbach 5-0 dalam aksi DFB-Pokal pada Oktober lalu.

Dan Kimmich mempersoalkan mentaliti pasukannya selepas perlawanan itu.

"Ia adalah prestasi paling buruk kami sepanjang musim ini berdasarkan keseluruhan perlawanan," katanya kepada Sky.

"Kami kehilangan semua kelebihan. Jika sesuatu seperti ini berlaku sekali dalam satu musim, saya boleh anggap ia boleh berlaku.

"Tetapi ini bukan kali pertama ia berlaku ke atas kami musim ini.

"Kami perlu berhati-hati. Kami perlu bertanyakan kepada diri kami sama ada ini adalah mentaliti yang melambangkan FC Bayern," katanya.