Bintang Barcelona, Neymar, mengakui persembahannya berdepan Paris Saint-Germain (PSG) merupakan yang terbaik dalam kariernya.

Pemain antarabangsa La Selecao itu membantu Barca menyempurnakan kebangkitan penuh magis dalam Liga Juara-Juara dengan kemenangan 6-1 ke atas PSG di Camp Nou, awal pagi tadi.

Neymar meledak dua gol memasuki lima minit terakhir perlawanan sebelum membuat hantaran kepada Sergi Roberto yang menjaringkan gol kemenangan.

Tidak mengejutkan apabila pemain berusia 25 tahun itu mendedahkan ia adalah aksi terbaik dalam kariernya.

"Tahniah kepada setiap pemain kerana terus percaya dengan diri masing-masing sehingga ke penghujung," Neymar memberitahu beIN Sports.

"Ini adalah persembahan terbaik saya."

Neymar menambah: "Jika kami percaya dengan diri sendiri dan bermain seperti yang sepatutnya, tiada pasukan yang mampu menyekat Barca.

"Perkara seperti ini hanya akan berlaku sekali dalam seumur hidup. Tiada sesiapa pun menyangka kami mampu menjaringkan enam gol."