Kapten Kuala Lumpur, Indra Putra Mahayuddin, fokus memastikan pasukannya merakam kemenangan pertama di laman lawan musim ini apabila berdepan Kelantan dalam aksi Liga Super di Kota Bharu, esok.

Bagi bekas tonggak skuad kebangsaan ini, tiada apa yang perlu dibuktikan kepada Kelantan yang juga bekas pasukannya musim lalu.

Indra menganggap penghijrahannya ke pasukan baru adalah perkara biasa sebagai seorang pemain profesional.

Kerana itu, tumpuannya lebih terarah kepada memastikan Kuala Lumpur melakar kemenangan pertama di luar Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

"Kuala Lumpur perlu mencipta kemenangan pertama di laman lawan ketika berdepan Kelantan. Setiap pemain perlu mengekalkan momentum bagi memastikan tidak keciciran mata lagi," katanya.

Nada sama turut disuarakan penyerang, Zaquan Adha Abdul Radzak.

Bagi Zaquan, kemenangan 2-1 ke atas PKNS FC dalam aksi sebelum ini seharusnya meningkatkan motivasi pemain berdepan Kelantan.

Zaquan juga menyarankan rakan sepasukan tidak memandang mudah cabaran Kelantan yang mempertaruhkan ramai tonggak muda musim ini.

"Ini merupakan peluang terbaik pasukan meraih mata di laman lawan. Kami tidak akan mengambil mudah dengan memastikan prestasi Kuala Lumpur berada di tahap terbaik," kata Zaquan.

Imej: Asiana