Jurulatih skuad ping pong negara, Beh Lee Wei, mahu anak didiknya mencontohi semangat juang tinggi yang dipamerkan India ketika mencipta kejutan dalam saingan Sukan Komanwel Gold Coast 2018 yang berakhir kelmarin.

Tatkala Singapura dilabel sebagai pilihan untuk terus mengekalkan dominasi dalam sukan ping pong, kisah berbeza berlaku di Gold Coast.

India menjadi pasukan paling menyerlah selepas meraih tiga pingat emas, dua perak dan tiga gangsa, termasuk mengungguli kedua-dua acara berpasukan lelaki dan wanita mengatasi Singapura.

Bagi Lee Wei, barisan pemain India membuktikan tiada yang mustahil dalam menembusi kekebalan Singapura dan semangat itu perlu dicontohi pemain negara.

"Semangat juang hebat dan perancangan mereka tersusun.

"Dalam tempoh dua tahun ini, mereka menyertai banyak pertandingan dan latihan, malah mendapat sokongan sains sukan," kata Lee Wei.

Skuad ping pong negara yang dibarisi pemain-pemain muda membawa pulang satu gangsa menerusi gandingan beregu wanita, Ho Ying dan Karen Lyne.

Cabaran seterusnya buat pemain negara adalah Kejohanan Dunia di Halmstad, Sweden bermula 29 April ini dengan Malaysia beraksi dalam divsiyen tiga.

Dalam masa sama, Lee Wei berharap satu program khusus diwujudkan bagi membantu untuk meningkatkan lagi prestasi Ho Ying dan Karen agar mereka menjadi lebih konsisten.

"Selepas ini, kami akan bertanding di Sweden dan banyak lagi kejohanan akan disertai.

"Buat Karen, medal ini satu galakan untuk dia dan ini hanyalah satu permulaan.

"Dia akan meraikan kejayaan ini tetapi saya harap dia boleh buat yang lebih baik lagi," tambahnya.