Inaki Willimas memecahkan rekod sebagai pemain melakukan penampilan berturut-turut terbanyak dalam sejarah LaLiga selepas diturunkan ketika Athletic Bilbao menewaskan Deportivo Alaves awal pagi tadi.

Penyerang Bilbao itu turun beraksi buat kali ke-203 secara berturut-turut dalam liga divisyen utama Sepanyol berkenaan dan ia ditandakan dengan kemenangan 1-0 hasil jaringan Raul Garcia pada minit ke-44.

Menjadi salah seorang daripada dua pemain yang pernah mencecah 200 penampilan berturut-turut dalam LaLiga, Williams kini mengatasi rekod yang dahulunya dipegang pertahanan Real Sociedad, Juan Antonio Larranaga, yang bermain untuk Los Txuri-Urdin dari 1980 hingga 1994.

Pemain yang pernah sekali mewakili Sepanyol itu -- yang menyertai Pamplona pada 2012 -- memulakan rentetan rekod itu sejak dimasukkan sebagai pemain gantian ketika Bilbao tewas 0-1 kepada Atletico Madrid pada April 2016.

Dia kemudian beraksi dalam setiap perlawanan domestik buat Bilbao dan membantu pasukan itu menamatkan saingan di kedudukan 10 teratas dalam empat musim sepanjang proses itu.


Williams, yang memulakan penampilan seniornya pada Disember 2014, menjadi penjaring terbanyak Bibao musim 2018-19, termasuk menemui sasaran sebanyak 13 kali dalam LaLiga.

Dia sebelum ini beraksi dalam penampilannya yang ke-300 bersama kelab berkenaan pada 11 September lalu dan meraikan perlawanan bersejarahnya itu dengan kemenangan 2-0 ke atas Real Mallorca.