Dua awang import baru Selangor, Victor Astafei dan Juliano Miniero, sedia menangani harapan tinggi peminat Merah Kuning musim ini, bermula dengan aksi Liga Super menentang Melaka United, Jumaat ini.

Bagi Astafei yang pernah beraksi dengan beberapa kelab divisyen satu di Romania dan Turki, tekanan dan harapan tinggi peminat serta pengurusan pasukan bukanlah sesuatu yang asing buatnya.

Pemain yang beraksi di posisi sayap kiri itu turut sedar dengan reputasi Selangor dalam kancah bola sepak tempatan.

"Saya kerap beraksi untuk sebuah pasukan yang mencabar kejuaraan.

"Jadi, saya sedar tekanan yang bakal dihadapi. Ia bagus untuk motivasi saya.

"Saya sudah bersedia dan teruja untuk membantu pasukan," kata Astafei.

Nada sama disuarakan Miniero yang bertekad membantu barisan muda Selangor.

Pemain Timor Leste kelahiran Brazil itu pernah bersama kelab Liga Jepun, Kashiwa Reysol, dan kelab Liga Perdana Thailand, Chonburi FC, sebelum ke Selangor.

"Pada usia 30 tahun, saya memiliki pengalaman luas.

"Saya harap dapat membantu pasukan dan menampilkan aksi terbaik," katanya.