Pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe, mengesahkan skuad Lang Merah sudah memuktamadkan calon pemain import kuota Asia yang difahamkan seorang pemain pertahanan dari Australia.

Selepas mengesahkan penyertaan Ken Ilso sebagai penyerang baru Kedah, skuad Hijau Kuning masih mempunyai kekosongan seorang pemain import.

Ia membabitkan kuota pemain Asia bagi menggantikan tempat pertahanan dari Korea Selatan, Bang Seung Hwan, yang beraksi bersama Kedah selama dua musim sebelum ini.

Menguji beberapa pemain, termasuk dari Korea Selatan dan Jepun, Cheng Hoe difahamkan memilih pertahanan tinggi lampai dari Australia, individu yang identitinya bagaimanapun enggan didedahkan Cheng Hoe ketika ini.

"Kemungkinan dalam sehari dua ini kami akan selesai mengisi kuota import Asia.

"Pemain itu ada pengalaman luas di peringkat antarabangsa, jadi kami yakin dia mampu menggalas cabaran bagi menghadapi musim 2017," jelas Cheng Hoe.

Kedah mengakhiri kempen pra-musim dengan lima kemenangan dan dua seri selepas membenam Felcra FC 2-0 semalam.

Perlawanan itu, bagaimanapun, dicemari insiden kad merah susulan tercetus pergaduhan membabitkan pertahanan Felcra FC, Azi Shahril Azmi dan pemain Kedah, Farhan Roslan.

Apa pun, tumpuan juara Piala Malaysia 2016 itu kini terarah kepada persiapan akhir untuk aksi pembuka tirai Piala Sumbangsih, 20 Januari ini.

"JDT (Johor Darul Ta'zim) adalah salah satu pasukan terbaik Liga Malaysia, jadi saya berharap pemain turun beraksi di Larkin dengan mentaliti positif kerana mereka kebal di laman sendiri," tambah Cheng Hoe.