Pemain baru Juventus, Douglas Costa, berpendapat peluang Bianconeri untuk meraih kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) kini lebih cerah dan itu yang membuatkannya mahu menyertai kelab juara Itali itu.

Juve layak ke final UCL musim lalu, namun terpaksa akur dengan kehebatan juara LaLiga, Real Madrid, apabila tewas 4-1 dalam aksi final di Cardiff pada 3 Jun.

Dua tahun sebelum itu, peluang Juve untuk membawa pulang trofi UCL telah dinafikan satu lagi pasukan dari Sepanyol, Barcelona, namun Costa melihat perkara itu dari sudut positif hingga membuat keputusan untuk menyertai skuad Bianconeri, bulan lepas.

“Di Eropah, tiada pasukan yang memiliki keinginan lebih tinggi untuk meraih UCL,” ujar Costa.

“Saya menyedari banyak kualiti di dalam pasukan ini dan akan menambah dengan kreativiti yang saya ada. Juventus menjadi pilihan saya kerana mereka telah beraksi dalam dua final UCL dalam masa tiga tahun.

“Setahun lagi menjelang Piala Dunia, saya mahu bersama pasukan yang benar-benar mahu mendapatkan trofi UCL dan saya mahu memenangi kesemua kejuaraan bersama Juve,” tambahnya.

Selepas mengharungi musim yang hebat di Bayern ketika di bawah kendalian Pep Guardiola, Costa dilihat memiliki kesukaran untuk menambat hati pengendali, Carlo Ancelotti, pada musim lepas.