Perang psikologi penyokong bola sepak untuk mengganggu pasukan lawan dengan menimbulkan kekacauan di luar hotel mereka mungkin berkesan – tanyalah kepada Cristiano Ronaldo.

Penyokong Iran membuat kecoh di luar hotel penginapan Portugal di Saransk malam kelmarin sehingga pasukan yang diketuai Ronaldo itu kelihatan kurang bertenaga dalam keputusan seri 1-1, 24 jam kemudian.

Sehari sebelum pertemuan penting Kumpulan B itu, Portugal memerlukan Ronaldo di tahap terbaiknya di samping penyerang itu sendiri harus bernafsu untuk mengirim pulang Iran atas sebab-sebab peribadi.

Ia menemukannya dengan sahabat yang kemudian menjadi musuh, Carlos Queiroz – pengurus Iran yang pernah menjadi mentor Ronaldo di Manchester United sebelum mereka bermusuhan bersama Portugal.

Hubungan kedua-duanya menjadi renggang selepas penyingkiran Portugal daripada Piala Dunia 2010, dengan Ronaldo mengungkapkan, “Tanyalah Queiroz," sewaktu ditanya mengapa mereka disingkirkan oleh Sepanyol, di sebalik hubungan mereka sudah lama terjejas gara-gara taktik negatif pengurus itu hingga pemain itu hanya menjaringkan satu gol dalam tempoh 16 bulan.

Kedua-duanya dipertemukan semula untuk menyingkirkan sesama sendiri awal pagi tadi yang mendedahkan Ronaldo terjejas oleh kurang tidur.

Bintang Real Madrid itu bergelut untuk memberikan sebarang impak dalam separuh masa pertama, dengan satu percubaan lemahnya diselamatkan penjaga gol, Ali Beiranvand.

Dengan pergantungan besar Portugal kepadanya, pertunjukan hambar dalam separuh masa pertama harus mengundang kebimbangan penyokong – lagipun Ronaldo telah menjaringkan kesemua empat gol mereka dalam dua perlawanan terdahulu.

Namun, mujurlah Ricardo Quaresma menyerlahkan Ronaldo bukan satu-satunya pemain yang boleh diharapkan untuk jaringan.

Pemain sayap itu menyusup masuk dari sebelah kanan, bertukar hantaran satu-dua dengan Adrien Silva sebelum menghalakan rembatannya ke penjuru atas gawang lawan.

Buat seketika dalam separuh masa kedua, Ronaldo kembali bertenaga. Dia meloloskan diri ke kawasan penalti lawan sebelum diterjah untuk meraih sepakan penalti – dengan ihsan video bantuan pengadil (VAR).

Apakah penyokong Iran telah mengejutkan seekor beruang daripada tidurnya?

Tidak. Beiranvand menyelamatkan sepakan penaltinya, dengan Ronaldo kelihatan termangu-mangu.

Iran seterusnya dirangsang oleh ketangkasan Beiranvand itu dan bangkit dengan lebih garang sesudah itu.

Iran menyamakan kedudukan 1-1 lewat dalam permainan melalui sepakan penalti Karim Ansarifard dan hampir meraih kemenangan dalam waktu kecederaan, namun digagalkan oleh kegopohan Mehdi Taremi.

Kesudahannya, Portugal terselamat dan Ronaldo yang kurang tidur mampu mengelakkan satu igauan buruk.