Jurgen Klopp berasakan impian Liverpool sudah terpenuhi sebaik menewaskan Burnley 2-0 di depan penonton berkapasiti penuh di Anfield malam tadi.

Gol dalam separuh masa berbeza daripada Diogo Jota dan Sadio mane memastikan tiga mata buat The Reds, di mana jaringan Mohamed Salah sebelum waktu rehat dibatalkan kerana berada di kedudukan ofsaid.

Ia merupakan kemenangan kesembilan berturut-turut Liverpool dalam perlawanan pertama di gelanggang sendiri selain turut memenangi tujuh perlawanan terakhir dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kemenangan ke atas Burnley itu turut menyaksikan Liverpool membalas dendam terhadap pasukan kendalian Sean Dyche berkenaan, yang menamatkan rekod tanpa kalah mereka di Anfield musim lalu.

Pengurus Liverpool berkenaan menegaskan bahawa perlawanan itu telah menaikkan semangat mereka setelah sekian lama menantikan untuk beraksi di depan ribuan penyokong di laman sendiri.

"Kami semua sudah lama menantikannya. Ia sebuah festival bola sepak," kata Klopp kepada wartawan.

"Tiada siapa ditinggalkan hari ini. Kesemua impian kami telah terpenuhi hari ini.

"Suasananya -- sejujurnya -- adalah yang terbaik pernah kami rasakan, ia agak istimewa," katanya.