Ben Woodburn menyifatkan gol kemenangannya dalam aksi sulung buat Wales bagaikan satu impian tatkala pemain muda itu meledak gol penting dalam kemenangan 1-0 ke atas Austria.

Pemain berusia 17 tahun itu menjadi penjaring gol muda kedua di belakang Gareth Bale apabila gol dihasilkan pada minit ke-73 itu kembali menghidupkan peluang Wales untuk mara ke Piala Dunia 2018 di Russia.

Dilahirkan di England, pemain muda Liverpool itu hanya memerlukan lima minit selepas dibawa masuk untuk meledak gol tunggal perlawanan bagi meletakkan Wales dua mata di belakang pendahulu, Republik Ireland.

Gol itu bakal menjadi penyuntik kebangkitan Wales menjelang aksi berdepan Moldova, Selasa ini.

"Bola itu hadir di kaki saya dan saya hanya cuba untuk melepaskan rembatan secepat mungkin." Woodburn bercakap kepada Sky Sports.

"Perasaan yang tidak dapat digambarkan. Saya tidak mampu tidur malam ini."

Gol Woodburn kembali menyuntuk keyakinan pengendali, Chris Coleman, yang memperkenalkan pemain muda itu dalam babak kedua dalam memburu tiga mata.

Tatkala slot ke play-off semakin hampir, bekas pengendali Fulham dan Real Sociedad itu turut memuji ketenangan Woodburn.

"Saya tahu rembatannya menakjubkan tetapi dia juga berjaya mengekalkan ketenangan sepanjang perlawanan," kata Coleman.

"Saya meminta Ben untuk mempamerkan aksi sebenarnya. Dia juga sedar tanggungjawabnya ketika bertahan."