Prestasi pemain-pemain muda Terengganu FC (TFC) II mula memberikan impak susulan kemenangan 2-1 ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) II di Kuala Terengganu, malam tadi.

Menurut jurulatih TFC II, Mustaffa Kamal Abdul Wahab, peranan mereka telah menampakkan peningkatan dalam aspek keserasian dan semangat juang memburu kemenangan.

Antara yang mendapat pujian ialah Shahrin Sapien, Muhammad Zuasyraf Zulkiefle, Amirul Syahmi Ashari, Mohammad Rahmat Makasuf serta penjaring gol kemenangan, Mohd Radhi Yusof.

“Kredit kepada kesemua pemain yang menjalankan tugas dengan berkesan walaupun ada yang membuat penampilan pertama.

“Mereka bermain dengan 100 peratus komitmen, malah menunjukkan keinginan untuk mengutip mata penuh di tempat sendiri,” jelasnya.

Sementara itu, Mustaffa Kamal mengakui prestasi penyerang import, Akanni Sunday Wasiu, mula menurun, namun menaruh kepercayaan pemain kelahiran Nigeria itu akan kembali meledak.

Masa juga, ujarnya, perlu diberikan kepada pemain import Korea Selatan, Lee Jun-hyeob, untuk membentuk gandingan mantap bersama Akanni Sunday.

“Saya tahu Akanni begitu mahukan jaringan untuk menamatkan kemarau gol.

“Dapat dilihat dia sedikit bergelut, namun daripada aspek keinginannya mendapatkan bola, saya berpuas hati,” tambah Mustaffa Kamal.