Kesan yang dilakukan oleh Jurgen Klopp di Liverpool memiliki persamaan dengan apa yang dicipta Johan Cruyff bersama Barcelona, kata pembantu pengendali The Reds, Pep Lijnders.

Klopp memenangi anugerah Jurulatih Terbaik FIFA semalam selepas mengemudi Liverpool menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah, musim lalu.

Mereka juga melalui permulaan cemerlang dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini biarpun dalam Liga Juara-Juara, mereka tewas di tangan Napoli.

Bagaimanapun, Lijnders percaya corak Klopp membina skuad masa depan di Anfield sememangnya menarik dan membuatkan dia dibandingkan dengan Cruyff, individu yang memiliki pengaruh besar di Barca selaku pemain ketika era 70-an dan pengurus pasukan sejak 1988 sehingga 1999.

Ditanya mengenai anugerah yang dimenangi Klopp, Lijners memberitahu media menjelang aksi menentang MK Dons dalam saingan Piala Liga: "Ia satu pencapaian dalam struktur kami. Pemilik pasukan mempercayai Klopp sejak awal, memberikannya kontrak enam tahun. Ia membantu untuk membina pasukan.

"Ia pencapaian hebat pasukan kerana tanpa kejayaan, anugerah individu tidak akan hadir. Kemudian, ia juga satu kejayaan buat Klopp. Saya sangat bangga.

"Dia bukan sahaja mencerminkan pasukan kerana tidak ramai pengurus yang datang dari negara berbeza dan memberi impak seperti apa yang dilakukannya.

"Sebagai contoh, saya sering katakan bahawa Cruyff memberi kesan kepada Barca dan ia bukan sahaja sekarang tetapi untuk akan datang.

"Klopp mencipta identiti sebenar dalam corak permainan dan cara dia merancang permainan, ia mampu kekal lama."