"Ilham Udin Armaiyn kembali hidupkan perlawanan," demikian luahan rasa puas hati jurulatih Selangor, P. Maniam, yang menganggap pertukaran pemain pada babak kedua membuahkan hasil untuk menewskan MOF FC 3-0 dalam pusingan kedua Piala FA di Stadium KLFA, semalam.

Asakan demi asakan daripada skuad The Red Giants masih tidak mampu untuk menembusi kubu pasukan MOF dalam separuh masa pertama walaupun tidak banyak serangan berbahaya daripada tuan rumah itu.

Namun, keputusan Maniam memasukkan pemain import dari Indonesia itu pada minit ke-65 membuahkan hasil selepas dia berjaya melakukan hantaran tepat kepada Amri Yahyah untuk meledak gol pembukaan.

Bagaimananpun, kata Maniam, ia tidak bermakna pujian harus diberikan kepada seorang pemain kerana satu pasukan memberikan kerjasama terbaik dalam misi untuk meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga Piala FA.

"Kita boleh nampak gandingan baik Ilham dengan Rufino (Segovia del Burgo) dan Amri.

"Kami mendapat banyak pilihan untuk mencipta peluang. Kami memperoleh peluang yang baik dan dapat menjaringkan gol," kata Maniam.

Sementara itu, ketua jurulatih MOF, Mohamed Razip Ismail, mahu anak buahnya segera melupakan kekalahan di pentas Piala FA kerana mahu kembali menghalakan fokus mereka kepada Liga FAM.

"Kalau kami menang perlawanan malam ini (semalam), ada lagi halangan yang perlu dilalui dengan menentang pasukan-pasukan lebih hebat, mungkin.

"Jadi, selepas ini kami akan menumpukan perhatian kepada Liga FAM dan akan menentang Shahzan Muda FC pada Khamis ini. Ia (liga) adalah keutamaan kami," katanya.