"Saya sedia sarung jersi Harimau Malaya "

Itu reaksi pemain UKM FC, Ijezie Micheal Chukwubunna, yang menjadi pemain terbaru dalam radar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk dijadikan sebagai pemain naturalisasi.


Pemain dari Nigeria itu muncul selaku calon terbaru seiring dengan nama Liridon Krasniqi mahupun Guilherme De Paula yang berada dalam kertas cadangan sebagai langkah mendapatkan pemain naturalisasi dalam tempoh terdekat.

Chukwubunna, yang sudah bermastautin di Malaysia sejak sembilan tahun lalu, menganggap usaha yang dilakukan FAM untuk mendapatkan khidmat pemain naturalisasi sebagai peluang terbaik untuk dia berbakti kepada kem negara.

"Ia satu langkah yang baik, saya juga gembira kerana sememangnya adalah menjadi impian saya untuk mewakili Malaysia.

"Ia bukan peluang yang senang diperoleh dan seandai berpeluang, sudah tentu saya akan mencurahkan segala jiwa raga saya," katanya.

Berusia 30 tahun, Chukwubunna menepati kriteria yang diperlukan untuk diberikan kerakyatan bagi tempoh penggunaan lima tahun ke bawah selain termasuk dalam pelan Piala Asia 2023.

Pemain itu bukan asing dalam saingan Liga Malaysia apabila pernah bersama dengan lima pasukan, antaranya Felcra FC, MISC-MIFA, Negeri Sembilan Betaria FC dan SPA Putrajaya.

"Semua pemain pun ingin mewakili negara dan projek ini sebagai sebahagian daripada pembangunan bola sepak negara ini.

"Malaysia mempunyai pemain berbakat dan saya percaya FAM mempunyai matlamat tertentu yang perlu dicapai, jadi saya sudah bersedia untuk menyertai skuad Malaysia," tambahnya.

Dalam Mesyuarat Exco FAM di Pulau Pinang semalam, pelan pengambilan pemain naturalisasi antara perkara utama yang dibincangkan.