Selangor tidak pernah meragui kemampuan penyerang import, Ifedayo Olusegun, sambil melabel peranan cukup mustahak bagi pembangunan kelab itu.

Pengendali Lembah Klang, Karsten Neitzel, mengakui pemenang Kasut Emas musim lalu itu akan terus memainkan peranan besar sebaik Liga Malaysia bersambung Sabtu ini.

Pemegang pasport Bahrain itu memimpin carta penjaring Liga Super dengan 13 gol selepas 13 perlawanan.

"Ifedayo merupakan nadi buat kami.

"Saya tidak menaruh jangkaan terhadapnya sebaliknya dia sendiri mempunyai jangkaan yang mahu dipenuhi, (kehadirannya) amat membantu pemain muda.

"Dia beraksi baik dan adakalanya mengagumkan. Dia berkemampuan menjaringkan gol, menyuntik keyakinan buat pasukan. Itulah yang sepatutnya dan ia boleh membantu pemain muda," kata jurulatih dari Jerman itu di Nadi Arena sebentar tadi.





Gergasi Merah muncul pasukan yang merakamkan jaringan tertinggi dengan 22 gol, tapi 20 jaringan yang dibolosi mencerminkan kepincangan utama di bahagian benteng.

Lantas, mereka perlu berwaspada apabila bertemu Kuala Lumpur City yang diperkuatkan dengan beberapa tonggak baru menjelang perhitungan di Cheras, Sabtu ini.

"Kami tidak seharusnya mengulangi kesilapan dengan memberi fokus kepada beberapa pemain lawan sahaja.

"Kuala Lumpur City membawa masuk empat muka baru misalnya Kenny Pallraj dan J Partiban.

"Kami perlu bersiap sedia mengenai cara untuk menguasai permainan dan tingkatkan persembahan."