SAMPDORIA 0 INTER MILAN 5

Penyerang Inter Milan, Mauro Icardi, tidak berdendam dengan jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli, berikutan tidak dipanggil untuk menghadapi aksi persahabatan, malah penyerang itu mengakui pada masa ini ada pemain yang lebih berhak mendapat pengiktirafan antarabangsa.


Argentina bakal berdepan Itali dan Sepanyol dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada 23 dan 27 Mac ini, dengan kelibat Icardi dipandang sepi Albiceleste menjelang Piala Dunia Russia, musim panas ini.

Kecederaan Sergio Aguero sedikit-sebanyak menawarkan harapan kepadanya untuk menerima panggilan lewat, namun Sampaoli sebaliknya memilih penggempur Atletico Madrid, Angel Correa.

Icardi memberi isyarat terhadap Sampaoli apabila cemerlang menyumbat empat gol ketika Inter membelasah Sampdoria 5-0 di Genoa, awal pagi tadi.

Begitupun, Icardi menegaskan dia memahami keputusan jurulatih Argentina itu sambil merujuk kepada masalah kecederaan yang membelenggunya ketika ini.

"Saya bercakap dengan jurulatih Argentina," kata Icardi kepada Sky Sport Italia. "Saya sudah tahu bahawa saya berada di luar (skuad).

"Saya mengalami kecederaan dalam empat perlawanan lalu, biarlah yang lebih berhak terpilih."

Icardi pernah tampil empat kali bersama Argentina dan yang terbaru, menentang Ecuador pada Oktober lalu yang menyaksikan Lionel Messi melakar hatrik untuk membawa mereka ke temasya Russia 2018.