Presiden Inter Milan, Steven Zhang, menegaskan penggempur Nerazzurri, Mauro Icardi, tidak akan menyertai juara Serie A, Juventus.

Ketua Pengarah Bolasepak Juve, Fabio Paratici, semalam mendedahkan bahawa pendahulu liga Itali itu telah cuba menghubungi Inter mengenai Icardi tatkala masa depan penyerang Argentina itu kian samar.

Icardi dilucutkan jawatan ketua pasukan minggu lalu dan dia terlepas aksi Liga Europa menentang Rapid Vienna serta kemenangan ke atas Sampdoria dalam aksi Serie A.

Ejen yang juga merupakan isteri Icardi, Wanda Nara, berkata penggempur berusia 26 tahun itu tidak bercadang untuk meninggalkan Inter.

Ditanya mengenai kemungkinan Icardi akan meninggalkan Inter, Zhang berkata: "Dalam bola sepak, anda tidak boleh menolak sebarang perbincangan dengan Juventus.

"Bagaimanapun, dalam kes spesifik ini, Icardi tidak akan ke Juventus. Kami berbincang lama minggu lalu dan mahu menamatkan kisah ini.

"Kami berbincang mengenai lanjutan kontrak tetapi falsafah kami adalah pasukan adalah lebih utama berbanding individu.

"Kempen pemasaran kami musim panas nanti akan lebih baik berbanding sebelum ini," ujarnya.

Ketua Eksekutif Inter, Giuseppe Marotta, yang meninggalkan Juve, September lalu, mendakwa kenyataan Paratici itu tidak sopan.

"Kami tidak akan menjual Icardi," ujar Marotta kepada Rai Sport.

"Kami percaya dia adalah pemain hebat yang telah menjalankan tugas bersama Inter dengan baik dan akan meneruskannya di masa akan datang.

"Berdasarkan apa yang dikatakan oleh Paratici, saya rasa jawapan sama boleh digunakan buat bintang Juve, Paulo Dybala. Lihat nanti apa yang akan dilakukan Jun depan. Apa yang dikatakan oleh Paratici itu tidak sopan."