INTER MILAN 3 SAMPDORIA 2

Mauro Icardi melahirkan rasa tidak puas hati walaupun menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-2 Inter Milan ke atas Sampdoria sambil menegaskan pendahulu Serie A itu tidak boleh mengambil risiko dengan membazirkan peluang.


Inter menguasai sebahagian besar perlawanan di San Siro, awal pagi tadi, dan bekas pemain Samp, Milan Skriniar dan Icardi, meletakkan skuad Luciano Spalletti itu pada kedudukan 3-0.

Dua kali percubaan Ivan Perisic dinafikan bingkai gawang, malah mereka nyaris kalah selepas Samp mempamerkan kebangkitan pada hujung perlawanan.

Dawid Kownacki dan Fabio Quagliarella merapatkan jurang kepada 3-2, namun Inter bertahan untuk mengekalkan satu mata di atas Napoli, yang menghadapi Genoa, awal pagi esok.

Bercakap kepada Sky Sport Italia selepas perlawanan itu, Icardi berkata: "Saya tidak puas hati dan sebenarnya agak marah kerana kami terus berhempas-pulas dan saya mendapati beberapa bola tersalah arah, saya perlu memperbaikinya.

"Kami tidak boleh terus mengambil risiko, terutama pada masa kecederaan. Kami tahu skuad yang kami ada dan apa yang mampu kami capai, terutama dengan kakitangan yang luar biasa ini. Ia membuatkan kami bangga dengan apa yang kami lakukan tetapi masih ada jalan yang panjang di depan dan kami mesti meneruskannya.

"Perlawanan seterusnya (menentang Verona) adalah sukar. Kami mungkin mempunyai keputusan yang lebih baik menentang Napoli kerana mereka letih tetapi kami tahu bahawa kami boleh melakukan lebih baik daripada apa yang kami lakukan sekarang.

"Kami sepatutnya menamatkan perlawanan ini pada babak pertama seperti yang kami kuasai dan mempunyai peluang tetapi kami tidak boleh menghadapi risiko seperti ini," katanya.