Zlatan Ibrahimovic menyifatkan dirinya sebagai pemain terbaik dalam sejarah Liga Bolasepak Utama (MLS) sambil dia membayangkan untuk kembali ke Amerika Syarikat (AS).

Pemain antarabangsa Sweden itu meninggalkan Manchester United untuk menyertai LA Galaxy pada 2018 apabila mengumumkan ketibaannya dengan iklan muka penuh di Los Angeles Times yang bertulis: "Wahai Los Angeles, anda dialu-alukan".

Ibrahimovic kemudian membuat penampilan sulung cemerlang ketika berdepan musuh terdekat, Los Angeles FC, dengan menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan selepas melakukan voli separuh sejauh 45 ela untuk memenangi anugerah Gol Terbaik MLS Tahunan.

Walaupun bekas bintang Inter, Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG) itu gagal membimbing Galaxy ke play-off dalam penggal pertamanya, tetapi dia masih menggondol trofi Pendatang Baru Terbaik MLS dalam kempen sulungnya.

Ibrahimovic menjadi lebih baik pada musim berikutnya apabila membantu pasukannya ke separuh akhir play-off Persidangan Barat sambil mengatasi rekod jaringan semusim kelab itu dengan 26 gol.

Pemain berusia 40 tahun itu mengimbau kariernya di MLS selepas menghasilkan 53 gol yang mengagumkan dalam 58 perlawanan sebelum kembali ke Milan, lantas Ibrahimovic percaya dia adalah pemain terhebat yang pernah beraksi dalam kancah berkenaan.

"Saya sangat gembira. Saya amat berterima kasih kepada MLS kerana memberikan saya peluang untuk rasa bersemangat semula," katanya dalam Rancangan ESPN, Gab & Juls.






"Tetapi masalahnya ialah saya masih terlalu bersemangat. Saya terlalu bagus untuk keseluruhan saingan itu. Itulah yang saya pamerkan. Saya adalah yang terbaik pernah bermain dalam MLS dan itu bukan kerana saya yang ego atau cuba menunjuk-nunjuk. Ia adalah satu kenyataan.

"Dan ketika saya berada di sana, saya menikmatinya. Saya melalui tempoh yang baik. Saya suka cara mereka bekerja, aspek pemasaran mereka.

"Saya fikir beraksi dalam MLS adalah cara terbaik untuk saya kembali selepas dibelenggu kecederaan. Saya dapat mencapai keadaan terbaik. Saya sangat bangga berkesempatan beraksi dalam MLS kerana mereka berkata kepada saya stadiumnya cantik tapi sepi tanpa penyokong.

"Tetapi tiada lagi stadium kosong sewaktu saya beraksi. Malah, menerima terlalu banyak tempahan jadi saya tidak boleh merungut dan saya sangat gembira dapat berada di sana."