AC MILAN 2 LAZIO 0

Stefano Pioli berkata Zlatan Ibrahimovic kini sedang membara selepas menandakan kepulangannya daripada kecederaan dengan menjaringkan satu gol ketika AC Milan menewaskan Lazio 2-0 dalam perlawanan Serie A di laman sendiri awal pagi tadi.

Ibrahimovic, yang kembali beraksi selepas mengalami kecederaan lutut pada Mei lalu -- dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-60 dan tidak menunggu lama untuk meninggalkan kesan dalam perlawanan itu apabila menolak masuk jaringan kedua pasukannya, hanya berselang tujuh minit selepas diperkenalkan.

Mereka terlebih dahulu berada di depan hasil jaringan kedua Rafael Leao musim ini sebelum sepakan penalti Frank Kessie dalam waktu kecederaan babak pertama berakhir di palang gol lawan.

Keputusan itu bermakna Milan telah memenangi kesemua tiga perlawanan pertama Serie A buat dua musim berturut-turut dan ia kali pertama berlaku sepanjang sejarah penyertaan mereka dalam liga divisyen utama Itali.

Ibrahimovic akan berusia 40 tahun bulan depan tetapi ketua jurulatih Rossoneri, Pioli, menegaskan faktor umur bukan penghalang buat pemain itu untuk menikmati satu lagi musim gemilang di San Siro.



"Zlatan tidak bermain selama empat bulan, jadi saya gembira dia dapat menjaringkan satu gol dan akan dia menjadi lebih kuat dalam perlawanan selepas ini," katanya kepada DAZN.

"Dia sedang membara. Dengan caranya bersaing dalam latihan dan juga dalam perlawanan, ia adalah untuk menjadi yang terbaik.

"Anda tidak berasa seperti sudah berumur apabila anda melakukan perkara seperti itu," katanya.