Zlatan Ibrahimovic berkata dia mahu menjaringkan gol dan meraikannya seperti tuhan selepas beraksi dalam perlawanan pertama Serie A buat AC Milan dalam tempoh 2,794 hari.

Pemain berusia 38 tahun itu -- yang merupakan sebahagian daripada skuad yang menjulang Scudetto pada musim 2010-11 -- masuk menggantikan Krzysztof Piatek selepas 10 minit babak kedua tatkala rentetan tanpa kemenangan buat Rossoneri berlanjutan kepada tiga perlawanan.

"Saya dapat rasakannya dalam diri, emosi dan perasaan yang saya bawa sepanjang sembilan atau 10 tahun ini," katanya.

"Sokongan daripada peminat kekal hebat dan memberikan saya motivasi tinggi. Saya mahu masuk ke padang, jaringkan gol dan meraikannya seperti tuhan di depan Curva!"

Milan kini menduduki tangga ke-12 Serie A, 13 mata di belakang pasukan tangga keempat, AS Roma, dan hanya lapan mata dibezakan dengan zon penyingkiran selepas 18 perlawanan.

"Anda boleh lihat pasukan kurang yakin dan agresif di depan gawang, jadi kami tidak begitu berkesan. Kami perlu faham apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan sentuhan terbaik skuad.

"Saya telah berada di sini selama empat hari dan akan cuba untuk memastikan kebangkitan Milan. Memang kurang keyakinan dalam pasukan ketika ini."



Editor: Nafis Abdullah