Penyerang Roma, Edin Dzeko, tidak pun terkejut terhadap ketajaman penyudahnya musim ini selepas meledak hatrik ketika menundukkan Villarreal 4-0 dalam saingan Liga Europa, awal pagi tadi.

Penyerang antarabangsa Bosnia-Herzegovina itu meningkatkan jaringan peribadinya kepada lapan berikutan hatriknya itu di Estadio de la Ceramica.

Selepas berhempas-pulas musim lalu, Dzeko juga telah menyumbat 18 gol liga untuk terikat dengan bintang Juventus, Gonzalo Higuain, bagi kedudukan pendahulu senarai penjaring Serie A.

Dzeko berkata ia memang dijangkakan daripadanya dan bekas penyerang Manchester City itu mahukan lebih lagi.

“Tidak, ia bukan kejutan buat saya kerana saya sentiasa menjaringkan gol – hanya tahun lalu ia sedikit berbeza,” katanya menerusi laman sesawang rasmi kelab itu.

“Di sinilah kedudukan saya sekarang dan saya mahu terus mengerah diri untuk membuktikan saya mampu melakukan lebih lagi.”

Roma menguasai perlawanan pusingan 32 menentang Villarreal itu, dengan Emerson memberi mereka pendahuluan dalam separuh masa pertama.

Dzeko tampil selaku bintang dalam separuh masa kedua, dengan meledak tiga gol dalam 25 minit terakhir untuk Roma memimpin perlawanan.

“Kami sangat menakjubkan. Kami tidak memberi ruang di barisan pertahanan dan melolosi empat gol melepasi benteng padu sebuah pasukan Sepanyol seperti Villarreal.

"Setiap perlawanan mempunyai kisahnya yang tersendiri. Ada kalanya kami berhempas-pulas di tempat lawan berdepan pasukan kerdil dalam Serie A tapi kami menyerlahkan betapa bagusnya kami (hari ini).”