Presiden Barcelona, Joan Laporta, sekali lagi menyerang bekas rakan sejawatannya itu, Josep Maria Bartomeu, apabila mendedahkan hutang gergasi LaLiga berkenaan telah meningkat kepada €1,35 bilion (RM6.7b).

Masalah kewangan Catalan telah didokumentasikan dengan baik sejak ia timbul pada Januari lalu dengan pengumuman jumlah hutang mereka telah melebihi €1.1b (RM5.4b).

Beban itu menyebabkan Lionel Messi melakukan perpindahan mengejut ke Paris Saint-Germain (PSG) secara percuma, sementara Gerard Pique sanggup memotong sejumlah besar gajinya termasuk Sergio Busquets, Jordi Alba dan Sergi Roberto.

Tetapi salah urus yang dilakukan ahli lembaga kelab yang berlaku dalam bertahun-tahun sudah mula membawa kesan mudarat ketika Laporta mendedahkan jumlah hutang yang membelenggu termasuk beberapa tuduhan yang luar biasa, malam tadi.

"Ketika mengambil alih jawatan ini, kami meminta pinjaman bernilai €80 juta (RM399j), daripada Goldman Sachs kerana kami tidak mampu membayar gaji pemain dan pekerja," katanya.




"Ahli lembaga terdahulu telah mengambil pendahuluan €79j (RM394j) yang berkaitan dengan 50 peratus hak televisyen LaLiga dan bank-bank pula mengenakan bunga sebanyak sembilan peratus.

"Pengurangan gaji oleh ahli lembaga sebelum ini juga tidak dicatatkan. Kami mendapati berjuta-juta diperuntukan dalam pelbagai bentuk bonus dan bermacam lagi kontrak baru.

"Kami telah menemui pembayaran yang tidak seimbang kepada perantara yang bukan merupakan ejen, yuran perpindahan berharga €40j (RM199.5j) dan untuk premium pembelian, kami telah membayar €8j (RM39.9j) sementara premium jualan bernilai €2j (RM9.9j).

"Seseorang juga dibayar RM39.9j kerana ditugaskan mencari pemain di Amerika Selatan."

Laporta mengadakan sidang akhbar itu untuk menjawab surat terbuka yang dikeluarkan Bartomeu Sabtu lalu apabila menuding jari menyalahkan presiden baru itu berhubung kisah Messi angkat kaki.

Surat itu menyenaraikan lapan pembohongan berbeza dengan Laporta mengulas: "Kami mempunyai bil gaji yang mewakili 103 peratus daripada jumlah pendapatan kelab. Ia 20-25 peratus lebih banyak daripada pesaing kami.

"Tidak ada yang akan terlepas daripada tanggungjawab itu. Situasi ekonomi ini membimbangkan dan status kewangannya cukup memeranjatkan.

"Barcelona mempunyai nilai bersih kurang €451j (RM2.2b) dan hutang sebanyak RM6.7b."