Pertahanan Bayern Munich, Mats Hummels, menyifatkan kekalahan 3-0 dalam aksi pra-musim kepada Liverpool merupakan pengalaman terburuknya bersama kelab tersebut.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu meraih kemenangan selesa di Allianz Arena dalam saingan Piala Audi hasil jaringan Sadio Mane, Mohamed Salah dan Daniel Sturridge.Segelintir daripada penyokong tuan rumah mencemuh persembahan yang dipamerkan oleh anak buah Carlo Ancelotti pada penghujung perlawanan selepas mereka merekodkan lima kekalahan dalam tujuh perlawanan.

Hummels, yang meninggalkan Borussia Dortmund untuk bersama juara Bundesliga itu, menyifatkan ia perlawanan terburuk yang paling pernah dialaminya.

"Kami mengambil mudah perlawanan berdepan Liverpool. Ia adalah pengalaman terburuk saya bersama Bayern," katanya.

Penyokong Bayern terus ditawarkan persembahan yang mengecewakan apabila tewas 2-0 kepada Napoli, dengan Hummels berasakan pasukannya masih belum mencapai tahap terbaik.

"Saya mengakui Bayern masih belum berada di tahap terbaik. Terdapat ramai pemain utama yang terpaksa direhatkan kerana mengalami kecederaan.

"Kami berharap dapat membuktikan sesuatu dalam aksi pertama bersama Dortmund dalam saingan Piala Super."