Pemain pertahanan Bayern Munich, Mats Hummels, melontarkan sokongan terhadap Jurgen Klopp dan menaruh keyakinan bahawa pengurus Jerman itu boleh mengatasi prestasi tidak konsisten Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris.

Selepas melakar kemenangan 4-0 ke atas Arsenal, Ogos lalu, skuad Klopp kemudian bergelut apabila hanya memenangi satu daripada tujuh perlawanan dalam semua pertandingan.

The Reds telah diikat 1-1 oleh Newcastle United dalam aksi terakhirnya, yang meletakkan kelab itu di tangga ketujuh dan tujuh mata di belakang pendahulu liga, Manchester City.

Hummels memenangi dua gelaran Bundesliga bersama Klopp ketika di Borussia Dortmund dan pemain antarabangsa Jerman itu mempunyai kepercayaan penuh terhadap bos Liverpool itu.

"Saya mengikuti rapat Klopp kerana tujuh tahun kami bersama ketika dia melatih saya di Dortmund," kata Hummels kepada Sky Sports News.

"Saya sangat gembira apabila dia membuat permulaan yang bagus tahun ini tetapi sekarang ia kelihatan sedikit sukar untuknya dan kelab itu.

"Tetapi dia dan pasukan pasti akan keluar daripada situasi ini. Ia tidak terlalu buruk tetapi ia tidak sebaik yang mereka mahukan," katanya.

Klopp telah dikaitkan dengan Bayern Munich yang memecat jurulatih, Carlo Ancelotti, minggu lalu.

Bayern masih belum melantik pengganti Ancelotti walaupun bekas bos, Jupp Heynckes -- yang memenangi treble pada 2012/13 -- dilaporkan akan kembali secara sementara.

"Bayern bercakap dengan saya dan bertanya kepada saya sesuatu, saya memberikan pendapat saya," tambah Hummels.

"Tetapi saya tidak tahu sama ada (bekas bos Dortmund, Thomas Tuchel) adalah calon yang hampir pasti untuk tugas itu atau jika ada satu atau dua orang lain, saya tidak tahu.

"Saya juga ingin tahu seperti semua pihak, membaca akhbar untuk mengetahui apa yang akan berlaku," katanya.