Mats Hummels melengkapkan kepulangan ke Borussia Dortmund semalam selepas disahkan oleh kelab itu.

Perjanjian dicapai dengan Bayern Munich awal bulan ini dan perpindahan itu disempurnakan selepas dia melepasi ujian kesihatan dan menandatangani kontrak semalam.

Bagaimanapun, Dortmund -- yang menamatkan saingan Bundesliga musim lalu di tempat kedua di belakang Bayern walaupun sering mendahului carta -- tidak mendedahkan tempoh kontrak yang dipersetujui.

Mereka dilaporkan perlu membayar yuran perpindahan berjumlah EUR38 juta (RM178 juta) untuk mendapatkan semula khidmat Hummels selepas menghabiskan tiga musim di Bavaria.

Dia menjadi nama terbaru yang menyertai Dortmund menjelang saingan 2019-20 selepas kelab bimbingan Lucien Favre itu melengkapkan perpindahan Thorgan Hazard, Nico Schulz dan Julian Brandt.

Bekas pertahanan Jerman itu berpeluang untuk melakukan penampilan pertama dalam aksi berdepan Bayern bagi pertemuan Piala Super Jerman, Ogos depan, sebelum memulakan saingan Bundesliga berdepan Augsburg di laman sendiri.

Dortmund bakal bertandang ke Bayern terlebih dahulu November depan sebelum melayan kunjungan juara bertahan itu di Signal Iduna Park pada minggu penutup musim 2019-20.