Keputusan ke atas penjaga gol muda negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, yang terlibat dengan isu doping, bakal ditentukan pada 30 Mac ini menerusi mesyuarat Jawatankuasa Etika dan Tatatertib, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Sampel B yang kekal kepada keputusan positif doping membawa kepada satu bukti yang akan mempengaruhi keputusan membabitkan Syihan.

Di atas kesalahannya itu, Syihan perlu menunggu hingga penghujung bulan ini bagi menentukan jenis hukuman yang diperlu dihadapinya.

"Keputusan hukuman yang bakal diberikan kepada Syihan akan ditentukan pada 30 Mac," kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul.

"Tetapi jangka masa hukuman itu masih lagi tidak diputuskan. Hukuman ini boleh jadi sebagai amaran keras ataupun digantung sepanjang hayat," katanya.

Sementara itu, Syihan mengharapkan hukuman minimum daripada pihak AFC demi kelangsungan kariernya.

"Saya menunggu hukuman daripada pihak AFC dan berharap ia bukan hukuman yang berat," kata Syihan.

"Buat masa ini, saya terus menjalani latihan bagi memastikan tahap kecergasan tidak terjejas."

Syihan diuji positif mengambil bahan terlarang di bawah Agensi Anti Doping Dunia (WADA) ketika menyertai Kejohanan AFC B-23 di Chiangshu, China, Januari lalu.