Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri, menasihatkan pemain muda pasukannya, Callum Hudson-Odoi, supaya bersyukur dengan peluang yang telah diberikan walaupun pemain itu dikaitkan dengan perpindahan ke Bayern Munich dengan dijanjikan lebih waktu permainan.

Pemain berusia 18 tahun itu diletakkan tumpuan yang tinggi dalam skuad Chelsea selepas dilihat sebagai tonggak utama yang membantu skuad B-17 England menjuarai Piala Dunia pada 2017.

Rakan senegaranya, Jadon Sancho, menjadi pemain paling menyinar buat seteru Bayern di Bundesliga, Borussia Dortmund, selepas meninggalkan Manchester City pada 2017.

Hudson-Odoi telah melakukan enam penampilan musim ini, namun hanya diturunkan sekali dalam saingan liga di mana dia terpaksa dikeluarkan pada minit ke-42 ekoran kecederaan paha ketika menentang Watford, minggu lalu.

Bayern sudah melakukan bidaan terhadap pemain itu, namun ditolak The Blues.

Bagi Sarri, Hudson-Odoi tidak boleh mengharapkan untuk diturunkan dalam setiap perlawanan pada usia semuda itu.

"Di Eropah, hanya sedikit pemain muda yang memperoleh lapan penampilan dalam perlawanan di peringkat tertinggi.

"Hudson-Odoi memperoleh tujuh penampilan di peringkat Eropah dan dia sepatutnya berasa bertuah.

"Saya berasakan dia seorang pemain yang bagus dan mempunyai potensi untuk menjadi pemain terhebat.

"Buat masa ini, dia sedang meningkat.

"Dia pemain yang baik sewaktu memiliki bola dan perlu meningkatkan aspek lain.

"Sebagai seorang pemain sayap, dia perlu meningkatkan kemahiran bertahannya juga.

"Dia mempunyai potensi besar untuk menjadi pemain penting, bukan sekadar di England tetapi mungkin di Eropah.

"Ia bukan mudah untuk dilalui oleh graduan akademi sepertinya, namun dia sudah bersedia untuk beraksi di mana-mana pasukan Eropah.

"Ia amat jarang dapat dilihat.

"Mungkin ada satu dua pemain seperti itu di akademi Barcelona dan Real Madrid, namun tiada di Juventus dan Paris Saint-Germain (PSG).

"Ia amat jarang berlaku dan kami bertuah kerana memiliki Ethan Ampadu, Andreas Christensen dan Hudson-Odoi.

"Terdapat empat pemain terbaik yang dihasilkan akademi ini.

"Ia mungkin disebabkan kami bernasib baik atau akademi di sini sememangnya amat bagus," katanya.