Pasukan yang baru dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim depan, Huddersfield Town, terus memperkukuhkan pasukan apabila menandatangani penjaga gol Denmark, Jonas Lossl, semalam.

Lossl menyertai skuad The Terriers menerusi kontrak pinjaman jangka panjang dan meninggalkan pasukan Bundesliga Jerman, Mainz, dengan pilihan memuktamadkan perpindahan dalam masa 12 bulan.

Huddersfield sebelum itu menyelesaikan proses menandatangani kontrak baru buat pengendali, David Wagner, sebelum mendapatkan pemain tengah yang dipinjam daripada Manchester City musim lalu, Aaron Mooy, menerusi perpindahan bernilai GBP10 juta (RM56.6 juta).

Bagaimanapun, usaha Wagner untuk melanjutkan tempoh pinjaman penjaga gol, Danny Ward, tampak sukar selepas pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, mahukan pemainnya itu kembali ke Anfield.

“Saya telah berbincang dengan Klopp dan malangnya dia mahu membawa Ward pulang,” ujar Wagner.

Lossl sebelum ini pernah beraksi untuk kelab Denmark, FC Midtjylland, sebelum berhijrah ke Ligue 1 untuk bersama Guingamp pada tahun 2014 dan akhirnya memilih Mainz sebagai destinasi seterusnya dua tahun selepas itu.