Pengendali Sweden, Janne Andersson, memberitahu Zlatan Ibrahimovic supaya menghubungi beliau jika mahu kembali beraksi dalam Piala Dunia, Jun nanti.

Ibrahimovic bersara daripada bola sepak antarabangsa selepas kempen Sweden berakhir dalam Euro 2016 tetapi mereka mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan kelayakan Piala Dunia, dengan meraih slot play-off dalam kumpulan bersama Perancis dan Belanda sebelum menyingkirkan Itali.

Di sebalik pencapaian itu, Ibrahimovic -- yang telah menyertai LA Galaxy -- mengulangi dia berkemungkinan kembali beraksi, yang terbaru dalam sesi temubual dalam rancangan Jimmy Kimmel Live bahawa dia akan berada di Russi tetapi enggan menjelaskan lebih lanjut.

Andersson -- yang dilantik selepas tamat Euro 2016 -- tidak tertarik dengan sebarang spekulasi dan menegaskan segala keputusan terletak di tangannya.

"(Ibrahimovic) masih belum bercakap kepada saya bahawa dia mahu bermain dalam Piala Dunia," kata Andersson.

"Jika dia telah membuat keputusan, sila hubungi saya dan berbincang mengenainya -- sama seperti pemain-pemain yang bersara selepas Euro 2016.

"Saya adalah jurulatih dan saya akan membuat keputusan," tegasnya.

Ibrahimovic telah melakukan permulaan cemerlang dalam saingan Liga Bolasepak Utama (MLS), menjaringkan tiga gol dalam empat perlawanan selepas bergelut mendapatkan sentuhan terbaik ketika bersama Manchester United.