Hubungan di antara penyokong Paris Saint-Germain (PSG) dan Neymar kini semakin baik, kata pengendali pasukan, Thomas Tuchel.

Bintang Brazil, Neymar, menjaringkan gol keempat buat pasukannya ketika membenam Angers 4-0 di Parc des Princes awal pagi tadi.

Pemain berusia 27 tahun itu telah menyumbat empat gol dalam lima penampilan liga musim ini, di mana kesemuanya hadir selepas jendela perpindahan ditutup, menyaksikan dia gagal keluar daripada kelab.

Neymar mahu pulang ke Sepanyol untuk bersama bekas kelab, Barcelona, tetapi perpindahan itu gagal dilengkapkan dan dia diejek peminat PSG yang mempersoalkan komitmennya dengan juara Ligue 1 itu.

Perhatian dari bangku penonton membuatkan Neymar mengakui minggu lalu bahawa ia seperti beraksi di laman lawan walaupun menegaskan hasrat mahu meninggalkan kelab itu tiada kena mengena dengan penyokong.

Bagaimanapun, Tuchel berasakan persembahannya kini membantu menjernihkan masalah tersebut.

"Tentang Neymar, ia semakin baik dan mudah," katanya.

"Saya katakan ia bergantung kepada kami, kepada Neymar untuk membuktikannya. Tidak perlu bercakap banyak.

"Dia menunjukkan banyak perkara dan sering menggelecek ketika berdepan Angers. Dia sekali lagi menjaringkan gol, malah sepatutnya mampu mencipta banyak jaringan. Namun, dia tetap melakukan banyak perkara.

"Terpulang kepadanya untuk membuktikan kesetiaan kepada kelab."