Pemilik dan Pengerusi Huddersfield Town, Dean Hoyle, mengesahkan sudah memeterai perjanjian untuk menjual kelab itu.

Hoyle membeli Huddersfield pada 2009 yang menyaksikan The Terries melonjak daripada Liga Satu (divisyen tiga) ke Liga Perdana Inggeris.

Kelangsungan pasukan itu dalam Liga Perdana Inggeris tamat musim ini selepas sah akan kembali ke Liga Kejuaraan sejak 30 Mac lalu.

Hoyle bersetuju untuk menjual kelab itu dan Phil Hodgkinson dijangka akan mengambil alih tugas pengerusi yang memerlukan 75 peratus saham pasukan.

Hoyle, yang akan kekal selaku ahli lembaga pengarah, berkata dalam laman web pasukan itu: "Saya masih tidak percaya bahawa tempoh saya sebagai pengerusi sudah berakhir.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada setiap peminat Huddersfield di atas sokongan luar biasa mereka terhadap saya dan keluarga saya sepanjang sedekad lalu.

"Kami mempunyai waktu yang luar biasa bersama kelab ini, mewujudkan kenangan yang akan dikenang seumur hidup.

"Hati saya terlalu berat untuk menjual kelab ini dan saya percaya aksi dengan Manchester United mungkin akan menjadi hari paling beremosi dalam hidup saya.

"Bagaimanapun, saya memikirkan bahawa selepas 10 tahun memberikan dedikasi penuh dan kesihatan saya yang tidak mengizinkan sejak akhir-akhir ini, saya perlu melakukan apa yang perlu untuk diri saya, keluarga saya dan Huddersfield Town dan tampuk pimpinan ini perlu diserahkan kepada pengerusi baru yang mampu membawa pasukan ini mencipta sejarah baru," katanya.

Huddersfield akan bertemu Manchester United, malam esok.

Ia merupakan perlawanan terakhir Hoyle sebagai pengerusi di laman sendiri sebelum skuad kendalian Jan Siewert itu menamatkan musim dengan aksi berdepan Southampton di gelanggang lawan.