NEWCASTLE 1 BOURNEMOUTH 1

Eddie Howe meluahkan kekecewaannya selepas Newcastle United mempamerkan prestasi di bawah par hingga mengundang ejekan penyokong sendiri ketika seri 1-1 dengan Bournemouth di St James’ Park, malam tadi.


Hasil pertemuan dengan bekas pasukannya itu buat julung kalinya gagal dimanfaatkan anak buah Howe yang masih kemarau kemenangan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini apabila dipaksa untuk bangkit mengikat kedudukan selepas rembatan Philip Billing meletakkan The Cherries di depan pada minit ke-62.

Video bantuan pengadil (VAR) kemudian mengesahkan bola terkena tangan Jefferson Lerma untuk Alexander Isak mengikat kedudukan menerusi sepakan penalti.

“Ia mengecewakan hari ini –- saya fikir ia adalah prestasi di bawah paras sebenar yang kami tetapkan sendiri dan mungkin buat kali pertama musim ini kami bermain hambar.



“Adalah sukar untuk mengetahui puncanya ketika ini -– mereka bertahan dengan sangat dalam dan adalah menjadi tanggungjawab kami untuk menembusi mereka dan saya hanya berasakan kami sedikit kekurangan dalam setiap aspek permainan kami.

“Perlawanan ini boleh menjadi contoh apabila 20 minit terakhir kami menjaringkan gol dan kami seolah-olah sudah bersedia untuk menang, tetapi keputusan perlawanan merencatkan kami. Ia adalah tempoh yang sukar -– kami mampu memenangi perlawanan ini dan ia terlepas daripada genggaman kami.”