Ketua jurulatih skuad hoki negara, Arul Selvaraj, menyanjung tinggi semangat juang pemain-pemainnya selepas bangkit untuk mengikat kelab Hampstead & Westminster 5-5, semalam.

The Malaysian Tigers meledak dua gol pada tiga minit terakhir perlawanan menerusi Firhan Ashaari dan Ashran Hamsani untuk memastikan maruah negara tidak tercalar dalam perlawanan ketiga Siri Jelajah United Kingdom 2021 itu.

"Walaupun pada suatu masa 3-0 berpihak kepada pihak lawan, dalam suku ketiga merupakan suku yang amat-amat baik (untuk mengimbangi perlawanan).

"Dalam suku keempat, kami sedikit hilang tumpuan hingga membenarkan pasukan lawan menjaringkan dua gol.

"Tapi kami bangkit dengan agresif untuk menjaringkan dua gol lagi bagi menyamakan kedudukan," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.





Ketua pasukan, Marhan Jalil, mengharapkan keputusan itu sebagai pemangkin kepada persembahan mereka menjelang pertemuan dengan Beeston HC, esok.

"Saya harap rakan-rakan dapat membawa semangat juang hari ini untuk perlawanan berikutnya.

"Kami cuba perbaiki satu persatu aspek untuk meningkatkan momentum demi mendapatkan kemenangan pertama," katanya.

Skuad kebangsaan kemudian akan mengharungi cabaran menentang skuad kebangsaan Ireland pada 5 dan 6 Oktober, diikuti Wales (9 dan 12 Oktober) dan Perancis pada 15 dan 18 Oktober ini.